Cerita apa saja. Celoteh apa saja.

Cerita apa saja. Celoteh apa saja.

Monday, 22 August 2011

Kadar Faedah

Rasanya saya ingin bercerita sedikit mengenai hutang dan kadar faedah.

Umumnya, kadar faedah boleh dicaj dalam beberapa cara. Pertama secara harian. Ini bermakna bank akan mengira faedah pada setiap akhir hari (bergantung kepada bank). Jika faedah anda 4% dan baki anda RM10,000.00, maka faedah hari itu:
4%/365 hari*10000 = RM1.095
Contoh aplikasi: Overdraf.

Kaedah kedua ialah bulanan, jika diguna contoh diatas, faedah 4% setahun, maka faedah pada akhir bulan ialah:
4%/12 bulan*10000 = RM33.33
Contoh aplikasi: Kad Kredit.

Kaedah seterusnya ialah berasaskan tahunan. Menggunakan contoh diatas, faedah tahunan adalah:
4%/1 tahun*10000 = RM400.00
Contoh aplikasi: Pinjaman peribadi dan kenderaan.

Terdapat juga kaedah lain seperti berasaskan suku tahunan atau mungkin 2 bulan sekali. Tetapi biasanya tiga kaedah ini menjadi pilihan. 

Jika dilihat daripada kiraan diatas, kiraan berdasarkan baki harian akan memberi keuntungan kepada peminjam kerana faedah yang lebih rendah. Faedah tahunan pula adalah paling tinggi apatah lagi jika diambil sehingga berpuluh tahun. Terdapat banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi jumlah faedah yang biasanya tidak diceritakan oleh bank. Kiraan ini hanyalah ilustrasi bagi menjelaskan hal ini. Jadi, buatlah pertimbangan terbaik apabila mahu mengambil hutang.

Hutang bank gergasi

Tadi saya bercerita mengenai hutang orang marhen. Mari kita lihat hutang golongan jerung!

 Wajah-wajah CEO bank-bank gergasi ini.

Gambar daripada artikel berkenaan.

Pinjaman peribadi (PL) Bank Islam 2

Akhirnya pinjaman diluluskan. Ada la juga cabaran dan rayuan. Ingatkan dah boleh sain dengan aman. Rupa-rupanya kena bayar terus hutang PL sebelum ni. Jumlah yang bank yang akan masukkan ke dalam akaun telah ditolak PL itu. Hampeh betul! Cadangnya nak bayar hutang lain. Kalau dapat lebih lagi mungkin boleh selesaikan kedua-duanya. Malangnya jumlah pinjaman tak cukup untuk kedua-duanya. Maka, terpaksalah memilih yang lebih utama untuk diselesaikan. 

Walau bagaimanapun, harapnya dapatla ditukar kepada pinjaman yang satu lagi itu. Yang PL tu bila-bila boleh bayar. Tak wajib diselesaikan pun. Bank je menyibuk nak tolong bayar takut kita tak mampu bayar semula hutangnya. Ginila nasib marhaen. Dulu tak simpan duit betul-betul. Ilmu pun tak nak timba. Sekarang siapa yang susah? Sendiri juga!

Kerajaan seharusnya mengutamakan pendidikan kewangan kepada rakyat Malaysia. Dengan ini, mereka akan dapat menguruskan kewangan secara berhemat disamping membuat simpanan untuk masa hadapan.  Dengan ini juga hendaknya kuranglah masalah kewangan rakyat dan negara. Ye la, kalau ramai rakyat pandai urus wang, masalah kewangan rakyat mungkin akan berkurangan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada subsidi dan kerajaan. Mungkin juga hasil cukai kerajaan bertambah kerana ketika ini kira-kira 1 juta rakyat sahaja yang membayar cukai pendapatan. 

Dewasa ini, amat sedikit rakyat yang celik kewangan dan ramai yang hidup susah disamping terkepung dengan hutang keliling pinggang! Saya pun baru sedar mengenai hal ini tapi sebab sudah juga terperangkap, maka masih bertatih untuk terus mengorak langkah. Harapnya, dalam masa 5 tahun, hutang-hutang PL ini akan dapat dikurangkan kepada minimum dan simpanan dimaksimumkan sekurang-kurangnya 10% sebulan. 



Sunday, 21 August 2011

Berbaloikah?

Berbaloikah senario ini. Bayangkan anda kini menekan pedal minyak kereta sehabis mungkin semasa berhenti di lampu isyarat kerana mahu menunjukkan kepada dunia bahawa anda hebat. Anda terus menekan walaupun tahu giliran anda belum tiba dan ia hanya membazir minyak yang anda sering bising kepada kerajaan kerana terlalu mahal bagi anda. 

Tiba masanya, anda terus memecut- zoooooommmmmmmmmm - wah, lajunya anda! Anda begitu berbangga meninggalkan kereta lain jauh dibelakang. Anda mungkin tergelak kecil disamping kembang punggung kerana berbangga. Tiba-tiba, ahh!!! Anda panik! Sebuah treler begitu dekat dihadapan anda. Anda tidak boleh mengelak! Jika dielak, kereta anda mungkin terbang, jika dibrek pun begitu juga. Jika dibiarkan, alamatnya beraya dilubang kuburlah tahun ini.... Apa anda harus buat??? Anda pasrah, apa nak jadi, jadilah.

Tummmm!!!! Kereta anda menghentam belakang treler. Bahagian depan remuk. Beberapa bahagian menyusuk tubuh mongel anda. Kesakitan menyentap seluruh tubuh! Anda pengsan dan inalilillah, anda kembali ke pangkuan yang Esa. Entah sempat mengucap atau tidak! Rakan anda disebelah agak bernasib baik tetapi parah diseluruh badan....

Jadi, berbaloikan kebanggaan itu? Mungkin ada "buang tabiat", maklumkan biasanya orang yang hampir mati akan dikatakan berbuat benda yang pelik-pelik. Walau bagaimanapun, akhirnya, anda pergi dan meninggalkan kenangan pahit buat keluarga tersayang. Tidak seorang pun tahu atau berbangga dengan kehebatan anda memandu kereta!

Kisah inilah diadaptasi daripada peristiwa yang terjadi tengahari tadi. Seorang mati dan rakannya (mungkin saudara, anak?) cedera parah. Semunya kerana memandu laju tidak kena tempat. Semoga beliau akan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.

Emas

Emas kini menjadi rebutan dalam kalangan pelabur dunia. Maklumlah, dengan keadaan ekonomi yang kacau-bilau ketika ini. Emas disifatkan sebagai pelaburan yang selamat ketika ini. Ini kerana emas mempunyai nilai intrinsik yang tersendiri berbanding wang kertas yang tidak bernilai - nilai intrinsik wang kertas mungkin hanyalah beberapa sen nilai kertas itu sendiri! Bayangkan jika dicetak nilai RM1juta ringgit, maka secara rasminya ia bernilai RM1j tetapi pada asasnya hanyalah setara beberapa sen. 

Nilai cetakan wang kertas boleh diletakkan seberapa banyak - sehingga menjangkau trillion - yang boleh seperti yang berlaku di Zimbabwe dulu. Malangnya, nilai wangnya hanyalah setara beberapa dolar amerika sahaja. Akibatnya, Zimbabwe terpaksa menggunakan matawang asing dan meniggalkan matawangnya. Inilah akibat daripada inflasi keterlaluan. Maka, kini peranan emas semakin tinggi.

Nilai USD semakin hari semakin rendah yang juga menyebabkan lebih banyak wang dolar diperlukan bagi membeli segram emas. Maka, dengan itu harga emas didalam sebutan dolar semakin meningkat. Jika masalah ekonomi Amerika berterusan dan nilai dolar semakin merudum, masalah seperti di Zimbabwe boleh berlaku - kes ini amatlah terpencil kerana nilai dan peranan amerika didalam ekonomi dunia. Berbanding dolar, nilai Swiss Franc naik mendadak kerana matawang ini sebahagiannya bersandarkan emas. Maka, pelabur lebih yakin dengan Franc seperti juga emas fizikal yang lain. 


Nilai emas dijangkakan akan terus meningkat selepas ini sehingga menjangkau USD1900 perauns. Ia mungkin tinggi lagi jika masalah ekonomi dunia menjadi semakin serius. Jika dilihat kepada carta diatas, dalam masa 6 bulan, emas meningkat maksimum USD464 atau 33% kenaikan. Sebahagian besar kenaikan dapat dilihat bermula julai apabila masalah hutang Eropah dan Amerika semakin teruk. Kenaikan adalah pada kadar 17% pada 30 hari terakhir tahun ini! Emas dijangkakan akan terus meningkat minggu ini jika masalah ekonomi berterusan.

Maka, emas adalah diantara portfolio terbaik buat masa ini. Mungkin emas menjangkau 10% daripada portfolio adalah baik bergantung kepada pertimbangan dan risiko yang sanggup diambil oleh setiap individu. Ambillah langkah segera bagi melindungi wang anda. Simpanan dan FD mungkin selamat tetapi pulangannya tidak dapat menandingi emas. Manakala saham adalah terlalu berisiko ketika ini. Maka yang tinggal adalah emas dan hartanah yang biasanya dibeli oleh orang marhaen - selainnya mungkin terlalu eksotik - matawang, komoditi, barang antik, barang mewah terhad dan lain-lain.

Monday, 15 August 2011

Wall Street: Bagaimana Kapitalisme Bermaharajalela

Agak menarik membaca artikel ini mengenai bank-bank besar Wall Street. Mereka mudah berjudi menggunakan wang para pelanggannya dan seterusnya menerima bonus yang besar jika berjaya atau tidak. Usah ditanya mengenai gaji mereka yang juga lebih 50% daripada gaji orang biasa (dipanggil Main Street). Mudahnya, mereka boleh berjoli katak dengan duit pelanggan tanpa mempedulikan nasib pelanggannya sama ada jika perjudian itu berjaya atau tidak!

Teringat saya mengenai kisah pengasas Bank of America yang membantu peniaga Chicago pada zaman kemelesetan ekonomi Amerika hujung 1920-an. Beliau menjalankan perniagaan bank yang sebenar dan serba ringkas dengan meminjamkan dan mendapat pulangan faedah daripada setiap peminjam. Akhirnya daripada usaha beliau ini tertubuhnya Bank of America yang terbesar di Amerika. Beliau enggan mengiktiraf diri sebagai jutawan dan mendermakan sebahagian hartanya selepas mati. Alangkah terkejut besar jika beliau masih hidup ketika melihat kebejatan bank-bank besar Amerika ketika ini.

Thursday, 11 August 2011

Serangan JAIS?

Malaysia kini tetiba heboh mengenai "serangan" Jais ke atas sebuah gereja di Damansara. Benarkah ia satu serangan? Kenapa ia dikira sebagai serangan. Adakah ada kemudahan yang rosak? Orang tercedera atau yang seumpamanya? Sekarang MB selangor mengarahkan Exco tutup mulut. Mungkin juga kepada Jais. Jadi, agak sukar mengetahui kisah sebenar.

Berdasarkan pengalaman, segala kes melibatkan Islam atau orang Islam akan digembar-gemburkan seolah-seolah bersalah dan sebaliknya bagi bukan Islam. Jadi, saya amat tidak percaya akan serangan ini. Jika benar, gereja ini begitu baik hati, kenapa tidak ditolong ramai lagi orang lain. Dengarnya hanya 10 orang Islam dijemput dan jamuan pada jam 10 mlm. Jika ini benar, kenapa dikatakan jamuan buka puasa? 

MB dengan mudah meminta maaf tanpa mengetahui lebih lanjut. Sunggu murah maaf MB sehingga sanggup melakukan ini demi undi politik! Jijik sungguh politik sebegini bagi saya. Sepatutnya, maaf hanya perlu dituturkan jika benar Jais bersalah. Bukannya secepat kilat seolah-olah ada tekanan kepada MB. Jelaslah betapa bonekanya MB selangor. 

Pihak Majlis Peguan (Bar Council) yang sudah diketahui umum berat sebelahnya dengan cepat menuduh Jais tidak bertanggungjawab dan perlu meminta maaf. Bagi saya, selagi BC bias, selagi itu cakap mereka tidak boleh dipakai. Lihatlah, "lepasan ijazah" BC yang kini menjadi pengerusi "Bersih" yang kotor itu. Cakap tak serupa bikin. Segala apa yang boleh digunakan untuk menghentam kerajaan, orang Islam atau Melayu akan digunakan sepenuhnya. BC telah hilang wibawanya bagi saya!

Ada juga yang komen mengenai mana pergi zakat sehingga kes ini terjadi. Sememangnya ini adalah satu isu yang wajib diselesaikan kerana zakat adalah sumbangan orang Islam yang wajib diberikan kepada asnaf-asnafnya. Jika tidak, semua umat Islam akan menanggung dosa. Oleh sebab itu, pihak pusat zakat sewajibnya cuba sebaik mungkin bagi mendapatkan dan mencari asnaf-asnaf bagi ditunaikan zakatnya. Wang yang berjuta boleh digunakan bagi memberi pendidikan, membeli tanah, rumah kedai, menyewa hartanah, saham syariah dan lain2 yang boleh dimanfaatkan kepada asnaf-asnaf. Sebaiknya asnaf diajar cara menghasilkan pendapatan sendiri berbanding hanya bergantung sumbangn bulanan zakat. Banyak lagi cara jika ada kemahuan.

Bagi saya isu sebenar di sini ialah fenomena menarik orang Islam ke arah murtad secara halus. Kes-kes ini telah ada sejak dulu. Sememangnya ia berlaku. Ada juga orang parti Islam yang menuduh kerajaan tidak mempedulikan isu murtad dan begitu sibuk menyalahkan kerajaan. Kini, apabila kes ini berlaku, mereka juga sibuk mempertahan pihak gereja yang belum diketahui niat tersembunyinya. Sudah tentu pihak gereja amat berbesar hati menerima pembelaan ini kerana usaha mereka akhirnya berhasil. Tahniah, Malaysia kini menjadi amat toleran kepada murtad atas alasan kebebasan beragaman dan yang paling penting, peti undi!

Kebebasan dan hak asasi telah menjadi mantra masa kini yang tidak boleh lagi dipertikaikan. Inilah agama baru yang dibawa barat dan kini didokong penuh orang politik Malaysia. Semoga Malaysia akan diselamatkan daripada fitnah dajjal seperti ini. Amin!

Wednesday, 10 August 2011

Satu lagi artikel menarik ...

Artikel ini berkisar kepada Townsend yang telah mengeksploitasi kelebihan orang yang mempunyai kredit (seperti rekod CCRIS di Malaysia) yang baik bagi membeli rumah tanpa mengeluarkan sesen pun wang. Pada masa yang pihak yang satu ini mendapat bayaran dalam perjanjian ini. Apabila, isu subprima timbul pada tahun 2008, Townsend hilang segala-galanya dan kini bakal dikenakan hukuman penjara kerana kononnya tidak memberi maklumat tepat semasa memohon pinjaman. Sedangkan isu utama ialah pihak pemberi pinjaman juga bertanggungjawab kerana terlalu murah memberi pinjaman tanpa mempedulikan latar belakang peminjam. Akhirnya, pihak bank (ikan jerung) terlepas dan Townsend (dan ramai lagi ikan bilis) menjadi mangsa!

Cukai!

Cukai, siapa yang suka pasal cukai! Jika boleh, sekupang pun tidak mahu dibayar kepada kerajaan. Bukan apa, kerajaan hanya membazirkan duit rakyat disamping untuk mengisi tembolok pemimpin dan kroninya. Mungkin benar hujah ini. Tetapi adakah cukai sesuatu yang zalim dikenakan keatas rakyat? Mengapa perlunya cukai dikenakan? Kemanakah pula cukai ini disalurkan setelah dibayar? 

Sungguh menarik apabila saya membaca artikel ini. Pihak Republikan di US amat menentang usaha menaikkan cukai kerana bimbang ia akan menyekat perkembangan ekonomi sedangkan fakta sejarah menunjukkan sebaliknya. Dengan pendapatan yang lebih, lebih-lebih lagi tanpa penyelewengan, kerajaan boleh berbelanja bagi merangsang ekonomi domestik dan seterusnya memberi kesan rantaian yang besar.

Sebenarnya, saya juga amat bencikan cukai kerana ia adalah wang hasil usaha saya. Mudah sahaja kerajaan mahu mengambilnya dan diberikan kepada kroni-kroninya. Tetapi cukai adalah satu keperluan bagi setiap negara. Negara perlukan cukai bagi mengisi kantung negara agar negara boleh menyediakan kemudahan yang selesa dan baik kepada setiap rakyatnya. Setiap negara perlukan jalanraya, sekolah, hospital, klinik, masjid dan segala jenis kemudahan lain bagi memberikan kehidupan yang baik kepada rakyat. Sebahagian daripada cukai digunakan untuk kemudahan ini. Sudah tentu "belanja pengurusan" kerajaan juga menggunakan cukai (segala jenis). 

Bagi sesetengah negara yang bernasib baik - sama ada mempunya sumber alam yang banyak atau kerana mempunyai pemimpin yang adil - wang cukai akan kembali semula kepada rakyat melalui segala kemudahan yang terlalu banyak untuk disenaraikan di sini. Contohnya, negara-negara Arab yang kaya dengan minyak dan negara Scandinavia yang mengamalkan Sosialisme. Kualiti hidup rakyat sudah tentu akan meningkat dan rakyat mempunya pendapatan boleh guna yang banyak.

Bagi Malaysia, pendapatan hasil bumi atau perkhidmatan belum cukup untuk membayar semua urusan kerajaan dan pembangunan. Maka, dengan itu cukai perlu dikenakan bagi membiayai semua ini. Cukai ini adalah sah dan wajib dibayar kerana setiap kemudahan tidak disediakan secara percuma. Sebagai contoh, bagi mendirikan hospital, kerajaan perlu membayar kontraktor dan seterusnya membayar gaji doktor, jururawat dan pekerja hospital selepas ia siap. Jika tidak, rakyat yang perlu menanggung semuanya. Jangan ingat kita mahu semua benda secara percuma.

Memang tidak dapat dinafikan mengenai penyelewangan di dalam urusan kerajaan. Tetapi ia bukanlah alasan untuk tidak membayar cukai. Di Malaysia, kira-kira sejuta orang sahaja yang membayar cukai pendapatan. (income tax) dan semua orang membayar cukai bagi barang dan perkhidmatan yang digunakan. Yang lainnya tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana kurang daripada pendapatan bercukai. Malangnya, ada yang cuba mengelak cukai dengan menipu semasa mengisi borang cukai, menyimpan di luar, menyediakan akaun untung rugi palsu dan lain-lain. Adalah amat menyedihkan apabila orang ini lari daripada cukai kemudiannya bising jika tidak mendapat kemudahan selesa apatah lagi kelas pertama daripada kerajaan. 

Sepatutnya kita perlu bersyukur kerana dengan membayar cukai pendapatan, kita telah membantu negara disamping ia adalah pengiktirafan bahawa pendapatan kita adalah tinggi berbanding orang lain.

Tak seindah wajah...

Indah sungguh lagu oleh Tan Sri SM Salim ini. Begitu dalam maksudnya. Masih bermakna isinya. Betapa banyak manusia yang lembut gigi dari lidah. Lagu ini saya tujukan khasnya buat orang politik dan semua orang amnya (termasuk saya). Betapa banyaknya manusia terpedaya akan janji manis dunia yang fana ini.


Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hati jiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

( 1 )
Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkum noda

( ulang 1 )

Jika mahu diulas lagu ini, tentunya ia berkisar sikap berpura-pura manusia yang tiada hentinya. Segala helah dan tipu daya digunakan bagi mengumpan manusia. Apabila manusia lain terpedaya, maka bermulalah episod duka yang mungkin tidak disedari pun oleh si mangsa.

Tuesday, 9 August 2011

CoreTemp

Lama sudah saya berkira-kira nak bercerita mengenai program ini tapi tenggelam dengan isu ekonomi. Akhirnya sampai masa untuk program ini. Program ini pada dasarnya bagi memaparkan suhu prosesor dalam komputer. Bergantung kepada jumlah "core" atau pusat pemprosesan secara fizikal dalam prosesor, kita boleh lihat berapakah suhu setiap core. 


Berdasarkan gambar diatas dapat dilihat bahawa terdapat 4 core dan 8 thread dan 1 CPU. Ini bermakna prosesor ini menpunyai 4 core fizikal dan tambahan 4 lagi melalui "hyperthreading". Frequency adalah rendah kerana prosesor ini mempunyai keupayaan Turbo Boost yang boleh melakukan overclock berdasarkan keperluan. Ciri-ciri pelik ini akan saya terangkan dalam edisi yang akan datang.

Dibawah sekali ada suhu setiap core dan "load" atau beban setiap core. Low menunjukkan suhu terendah dan high menunjukkan suhu tertinggi. Suhu dibawah 60 darjah C adalah baik. Jika lebih, ia boleh memberi kesan tidak baik kepada prosesor atau motherboard. Pernah suhu PC saya mencecah lebih 90 dan kesannya motherboard rosak dalam masa setahun. Jadi, program ini amat berguna bagi memantau "kesihatan" PC kita apatah lagi bagi yang melakukan overclock.

Tray menunjukkan suhu setiap core.

Monday, 8 August 2011

Pelancongan di Malaysia


Melihat kepada rekod ini, sungguh berbangga saya kerana Malaysia mendapat tempat ke-9 paling banyak dikunjungi oleh pelancong asing pada tahun 2007.  Perancis adalah pendahulu dan terus mendahului untuk selama 3 tahun. Sungguh hebat Perancis. Sekurang-kurangnya, Malaysia kini lebih dikenali di mata dunia. 

Cumanya, daripada jumlah 23.6 juta ini, berapakah jumlah yang menjadi pendatang haram. Berapakah yang hilang dan terus bekerja menjadi pelacur, penjenayah dan lain-lain. Bukanlah, maksud saya, rekod ini tidak boleh dibanggakan. Cuma, jika masalah pelancong hilang dan pendatang haram dapat diminimumkan, rekod ini akan lebih bermakna. 

Sebelum ini diberitakan lebih 60,000 pelancong hilang terutama yang menggunakan Visa on Arrrival (VOA). Alhamdulillah, kini ia dimansuhkan. Dalam pada kita mahu pelancong datang ke Malaysia, kita tidak mahu, "pelencong" yang datang. Kini Indon, Bangla, Nepal, Awang Hitam dan sebagainya bersepah di Malaysia sehingga mencetuskan rasa tidak senang penduduk tempatan dan membangkitkan kebimbangan masyarakat. 

Buatlah sesuatu yang lebih baik bagi menangani masalah ini. Jangan terlalu mengikut telunjuk majikan. Jangan juga terlalu mengikut telunjuk negara sumber pendatang ini. Hukum sesiapa yang terlibat dalam melepaskan PATI datang ke sini. Jika yang benar tetap benar. Jika pendatang asing tanpa izin (PATI) harus dirotan atau didenda, lakukan. Jika tidak, mereka akan sentiasa datang kerana tiada hukuman dikenakan. Yang susah akhirnya kita sendiri kerana terpaksa menanggung PATI sama ada melalui subsidi (makanan, perubatan dll) atau ketika dalam tahanan.

Akhirnya, kita memang berbangga jika Malaysia semakin dikenali dunia tetapi pastikan ia juga adalah daripada pelancong tulen yang memberikan wang kepada kita bukan sebaliknya "mengabihkan bogheh" seperti kata orang Nogori.

Kad anda ditelan!

Tension rasa dihati apabila kad ATMku ditelan tadi. Sudahla duit dipotong, kad pula ditelan kerana kerosakan mesin. Apa tujuan kad ditelan entahlah. Lain kali, pulangkan ajela kad kalau mesin rosak. Kenapa perlu ditelan kad itu. Bukankan ia menyusahkan orang yang perlu pergi semula ke bank untuk mendapatkannya. Apatah lagi bagi seseorang dalam perjalanan. Nasib baik, saya ambil di bank berdekatan. jika tidak, naya kata orang Kedah! Apatah lagi jika esoknya cuti panjang. Itu belum kira yang perlu wang segera! "Kesian" macam dalam filem Madu Tiga!

Esok la nampaknya dapat ambil kad tu. Harapnya la. Bila telefon, bank kata duit dah dipulangkan. Nasib baik tak banyak songeh sangat. Apapun, esok baru boleh pasti semuanya adalah baik. Hmm, pengajarannya, kalau mesin ATM lama sangat proses, tetapi tanya nak resit ke tidak walau tak keluar duit, tukarlah ATM atau guna ATM lain. Jika diulang sekali lagi di ATM yang sama, alamat kad bakal kena telanla... Nak kena hempuk ATM ni. Suka-suka telah kad orang!

AirAsia


AirAsia. Siapa tak kenal AirAsia. Syarikat penerbangan bajet yang kini berkelas dunia. Tiada siapa menduga syarikat yang asalnya hampir bankrap telah berjaya dibeli dan diubah oleh Tan Sri Tony Fernandez menjadi syarikat yang amat menguntungkan. Siapa sangka penerbangan bajet juga amat menguntungkan malah melebihi syarikat penerbangan premium. 

Sebahagian daripada kejayaan ini datang daripada sikap Tony sendiri yang tidak mengenal penat dan juga berani menongkah arus bagi menghasilkan kejayaan. Sikapnya yang dilihat agak "keras" walaupun kadangkala merimaskan, akhirnya membuahkan hasil. 

Model perniagaan Airasia juga baik. Setiap tempahan yang dibuat kadangkala sehingga setahun depan telah menghasilkan tunai yang bukan sedikit. Setiap tempahan perlu dibayar segera (tunai atau kredit) walaupun waktu penerbangan adalah 5 bulan lagi contohnya. Maka, Airasia telah mendapat tunai daripada masa depan untuk masa sekarang. Dengan promosi besar-besar sehingga 1 ke 2 juta tempat akan menghasilkan tunai yang banyak. Bayangkan jika hanya RM10 dibayar bagi 1 juta tempat duduk, Airasia telah memperolehi RM10 juta ringgit padahal kosnya masih lagi rendah. Kos sebenar akan tiba selepas penerbangan. Ini juga model yang digunakan oleh syarikat komputer DELL.

Inilah model "cash mountain" yang amat baik kerana tunai sentiasa tinggi dan menghasilkan aliran tunai yang baik. Berbanding model "death valley" yang memerlukan "pendahuluan" daripada pengusaha yang sentiasa menghasilkan aliran tunai negatif kerana tunai yang didapati (kadangkala lambat) perlu digunakan untuk mendahulukan perbelanjaan. Model ini bukanlah buruk semata-mata tetapi jika tidak dapat dikawal, hutang akan bertambah dan terus bertambah hatta dengan penggunaan overdraft (OD)

Airasia juga dapat merancang dengan baik kerana ia telah mendapat maklumat awal tempahan. Tempahan yang tidak dipenuhi telah pun dibayar dan dapat pula dijual kepada orang lain jika ada. Selain itu, ia juga membuat duit daripada "baggage" dan jualan didalam kapal yang menambahkan lagi keuntungan Airasia.

Kini, saham Airasia mencapai rekod apabila mencecah sehingga RM4.20. Sungguh tidak kuduga rupa-rupanya ada sesuatu sedang berlaku, harganya naik dari kira RM2.50 ke sekarang ini dalam tempoh 4 bulan. Alangkah baiknya jika ada orang dalam (insider) walaupun diketahui ia dilarang oleh SC. Boleh buat untung segera! Oklah, ia tak boleh.
Pergerakan saham AirAsia dalam 4 bulan (carta mingguan).

Sahamnya kini dibekukan sementara menunggu pengumuman rasmi.  Sekurang-kurangnya, buat masa ini Airasia terlepas seksa "panic selling" untuk dua hari. Dengarnya, Khazanah bakal memegang 10% saham Airasia dan Tony dan naibnya bakal memegang 20% saham MAS (yang ini mungkin tak betul!). Dengan ini, kedua-duanya tidak perlu bergaduh tetapi bekerjasama demi kebaikan negara.

Kini, anak syarikatnya di Thailand bakal disenaraikan dibursa saham. Untung tahun lepas melebihi RM1 billion. Tempahan pesawatnya juga melebihi 200 buah dan terus meningkat! Ia bakal masuk Jepun melalu ANA. Semoga Airasia akan terus berjaya!

Catatan pemegang saham AirAsia... hehe!

Jika takut dilambung ombak...

Kerajaan dan polis kini disaman oleh dua orang pemimpin pembangkang atas dakwaan menahan mereka secara salah semasa perhimpunan haram 9 Jul 2011 lalu. Hai, sudah tahu haram, kenapa sibuk nak buat juga! Bila kena tangkap, sibuk nak salahkan orang menahan secara salah! 

Sedangkan di dalam Islam, melarang kita mendekati benda haram. Jika haram dalam Islam dan kita buat dan kemudian dihukum, adakah ini salam penghukum? Siapa yang zalim sebenarnya? Mungkin ini bukan hukum Islam tetapi ia tetap haram (oleh kerajaan) dan ada cara lain yang lebih baik bagi menyelesaikan isu ini. Kenapa tidak pilih jalan baik. Pembangkang asa lebih 80 wakil di Parlimen! Bersih dan jumpa Agong tetapi memo disimpan tanpa diserahkan!

Saya secara umum tidak gemar akan politik Malaysia yang semakin cacamarba ini. Kerajaan dengan penakut dan baculnya dan pembangkang yang gila kuasa dan bodohnya! Sesungguhnya dapat difahami akan sifat kedua-dua pihak ini. Walau bagaimanapun, berpolitik tidak menjadikan matlamat menghalalkan cara. 

Pembangkang bukan bererti membangkang semata-mata. Begitu juga kerajaan tidak sepatutnya hanya tunduk dan defensif semata-mata apatah lagi bagi menjaga jumlah undi yang bakal tiba nanti. Rakyat sudah muak! Dalam saya tidak duka orang politik US, ada yang menyokong usaha baik walau dilakukan oleh pemerintah atas dasar untuk kebaikan semua. Kemaslahatn umum mengatasi individu apatah lagi segelintir pemimpin yang gila kuasa dan mabuk harta. Saya tidak bermaksud kerajaan itu baik, tetapi gunalah cara yang betul. Buktikan setiap tuduhan, tunjukken keperibadian yang baik dan penuhi janji. Insya Allah, rakyat akan menyokong.

Bagi kerajaan, ertindaklah dan jangan berlebihan. Sesungguhnya rakyat akan faham. Sekarang ini segala isu melibat pembangkang atau penyokongnya lewat atau tidak diambil tindakan. Berlainan bagi penyokong atau yang melibatkan isu sensitif, tidakan segera diambil yang hanya menampakkan usaha menjaga undi.

Harapnya, orang politik akan lebih matang dan tidak hanya menjaga undi semata-mata.

Crash! .... ehem... Berdebum!...

Akhirnya yang ditunggu telah tiba! Pasaran saham terus merudum di seluruh diakibatkan oleh penurunan taraf US oleh S&P dan beban hutang di Eropah. Berdasarkan penilaian awal, penurunan ini akan mengambil masa yang lama melainkan ada usaha yang baik bagi mengekang masalah ini berlarutan. Ekonomi US mungkin meleset tetapi ada yang optimis mengatakan ia hanya sementara dan kemelesetan tidak akan berlaku. Tiada siapa yang tahu melainkan kita boleh tunggu dan lihat. Warren Buffet, jutawan dunia, masih yakin dengan ekonomi US. Beliau mungkin betul!

Bursa Malaysia hari ini merudum teruk pada awal pagi dan demam pada tengahari. Ia bagaimanapun pulih sedikit pada sesi petang diakibatkan oleh "bargain hunting" - jualan murah. Bila lagi kita boleh beli saham-saham terpilih (dan tidak terpilih!) pada harga rendah! Inilah masanya. Sesiapa yang membeli pada tgh dan menjualnya pada waktu petang sudah mendapat untung! Saham ini seperti saham MSM, PCHEM, ARMADA yang menjunam teruk dan pulih pada petangnya. 

Keadaan ketika ini agak teruk kerana saham di Eropah masih meneruskan penurunan. Maka, mungkin pemulihan Bursa pada hari esok adalah malap. Jika saham turun lagi, buatlah penilaian bijak untuk membeli atau menjual. Sekarang mungkin masa terbaik dalam masa terdekat untuk membeli - atau mungkin. tidak  Berdasarkan pemerhatian semasa, mungkin masa yang baik!

Orang politik di US masih menunding jari menyalahkan orang lain dengan masalah ini. Betapa Republikan (Republican) menyalahkan Demokrat (Democrat) sedangkan masalah ini bermula dari zaman Bush lagi. Kemudian, mereka berdolak-dalik sehingga ke saat akhir sebelum bersetuju dengan penyelesaian bagi masalah hutang US. Keaadan ini juga menyebabkan masalah bagi Obama untuk menghadapi pilihanraya tahun depan. Biasalah, akhirnya, rakyat marhaen menjadi korban jika kemelestan/ penurunan ekonomi berterusan.

Pengajarannya, uruslah perbelanjaan dengan baik. Hidup sekadar termampu. Pinjam dengan niat membayar dan untuk pelaburan yang lebih menguntungkan. Buat keputusan bijak dalam pelaburan dan ambillah masa yang singkat ini untuk memasuki pasaran ketika saham jatuh teruk kerana "jualan murah" ini MUNGKIN tidak akan tiba untuk beberapa tahun lagi.

Saturday, 6 August 2011

Akhirnya...

Akhirnya US hilang status AAA bagi penarafan hutangnya! Ini biasanya bermakna sesebuah negara perlu membayar lebih sebelum boleh menjual bonnya bagi mendapat duit.  Penarafan AAA bermakna ia adalah pelaburan yang amat selamat dan boleh diyakini. 

Walaupun hanya S&P yang menurunkan taraf dan tidak diikuti oleh Fitch dan Moody, kesannya boleh jadi buruk. Menariknya, ia diumumkan selepas pasaran ditutup agaknya bagi mengurangkan kesan parah panik pelabur. Mungkin selepas 2 hari bercuti, pelabur akan kembali tenang dan pasaran akan lebih rasional. Hmmm... mungkin mimpi sahaja. Pasaran saham kini sudah gila. Penarafan ini mungkin akan menggilakan lagi saham dan peristiwa tahun 2008 (selepas bankrapnya Lehman Bros) mungkin berulang minggu depan.

Tiada siapa tahu dengan tepat. Tetapi setiap pelabur saham perlu berani menghadapinya. Tunggu juga masa yang baik untuk masuk semula saham. Ketika ini, kebanyakannya pelabur asing yang keluar dari Bursa Malaysia (Bursa). Minggu depan, mungkin panik akan menyebabkan pelabur tempatan juga keluar!

Harapnya, ia tidak memberi banyak kesan kepada golongan marhaen seperti kita. Biasanya, orang kaya akan terus kaya tetapi orang marhaen akan terus menderita! Berpunca daripada orang kaya! Akibat terlalu berpolitik, semua orang menerima bahananya. Inilah pengajaran yang harus kita ambil iktibar. Malaysia juga akan jatuh ke tempat yang sama jika kepentingan politik mengatasi segalanya!

Wednesday, 3 August 2011

Pinjaman peribadi (PL) Bank Islam

Sekarang ini nampak PL Bank Islam amat menarik. Jika dipinjam bersama kawan, kadarnya akan semakin turun sehingga 4.5% bagi anggota kerajaan atau 6.5% bagi swasta. Bank lain biasanya bagi 7% atau 7.5% bagi swasta. Ar-Rajhi pun tinggi. HSBC kena 9% lebih. Jadi, nampaknya Bank Islam amat baik. Cuma perlu masukkan gaji dalam Bank Islam.

Alangkah baiknya kalau OD ASB dibenarkan lagi bagi orang perseorangan tanpa perniagaan, boleh gunakan ini untuk dapat OD!

Ekonomi lagi..

Ish, kena cakap pasal ekonomi lagi. Dunia dah cacamarba. Walaupun masalah had hutang Amerika dah selesai. Dunia masih bimbang. Emas naik menggila, saham turun mendadak. Adakah masalah seperti tahun 2008 bakal berulang? Mungkin ya, mungkin tidak. Mungkin esok, segalanya akan kembali normal.

Apapun, semoga kesannya tak begitu teruk, inilah akibatnya kalau main saham. Asyik bimbang aje pasa turun naik ekonomi. Nak buat macam mana, kurang minat main hartanah! Bila baca buku saham pun, soalannya, berapakan tahap kerisauan anda. Berapakah tahap risiko anda sanggup terima? Jika tidak, seperti  kata pepatah, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai!

Saham boleh bagi untung cepat dalam masa yang sama rugi pun boleh cepat. Pengajarannya, biar main cara selamat, pelbagaikan portfolio dan belajar dan terus belajar. Melabur bukan berjudi. Biar saham naik atau turun, terus tambah jika mampu bagi mendapatkan untung jangka panjang. Jika rasa sudah cukup masa nak jual, jual sahaja tanpa fikir soal "nostalgia". Saham adalah pelaburan, bukan nostalgia. Emosi boleh memusnahkan kita.

Monday, 1 August 2011

Dragon Age: Origins


Game ni memang menarik! Entah macam mana nak mencuba game ni. Tapi maklumlah saya memang minat game pelik-pelik. Ada kuasa ajaib, hantu, naga, binatang pelik2 dan macam lagi. Saya tak minat langsung game tembak2 hatta modern warfare 2 yang jadi idaman ramai gamer tu. Dragon Age: Origins ini ada saudara jauh (RPG daripada syarikat yang sama) iaitu Mass Effect tapi tembak2 juga la. Jadi memang takde hati la nak mencuba.

Alkisah mengenai watak utama yang mengembara sebagai Grey Warden bersama temannya dalam mengelakkan bencana besar yang menghampiri negeri Ferelden. Layaknya RPG, kitalah hero itu yang datang daripada  pelbagai latar belakang dengan satu  jalan cerita yang bakal menobatkan kita sebagai hero Ferelden.

Ada 6 latarbelakang di dalam cerita ini daripada 3 bangsa - manusia, org kerdil dan elf. Masing2 ada kisah duka yang akhirnya direkrut menjadi warden oleh Duncan, salah seorang warden terbilang pada masa itu. Kepelbagaian ini bersama jalan cerita yang tidak linear - bergantung kepada pilihan kita menjadikan nilai replay yang tinggi.

Masa untuk menghabiskan setiap game pula lebih kurang 100 jam yang menjanjikan cerita hebat dan mendalam. Semasa bermain, biasany saya melepasi jam 3 pagi tanpa mengantuk! Begitu ketagihnya saya ketika itu.

Saya bermain sebagai manusia yang datang drpd keluarga bangsawan. Keluargaku dikhianati dan dibunuh dengan kejam. Duncan menyelamatkan saya seterusnya merekrutku menjadi Warden. Menjadi Warden datang bersama tugas berat menyelamatkan Ferelden daripada "darkspawn" - watak jahat dan "Blight" - kebangkitan makhluk jahat yang sejarahnya daripada ahli sihir agung yang terlalu angkuh sehingga mencoroboh istana tuhan mereka. Mereka disumpah menjadi "darkspawn" yang hanya tahu merosakkan dunia. Bermulalah "Blight" yang hanya dapat diakhiri apabila Warden membunuh ketuanya iaitu naga jahat yang dipanggil "Old God".

Seperti RPG lain, kita akan diberi pilihan dan setiap pilihan menghasilkan sesuatu yang berbeza. Kita akan mengumpul satu demi satu teman yang akan setia (atau tidak) bersama kita ke akhirnya. Setiap teman mempunya personaliti yang berbeza dan akan dapat difahami jika kita bersembang dan mendalami hati mereka. Malah sehingga keperingkat cinta yang mendalam jika kita mahu! Terdapat juga adegan "tooot"! Jika mahu lebih lagi, bolehla didownload fail ubahsuai daripada internet yang mengandungi aksi-aksi panas lagi mengancam!

Antara watak yang paling menarik ialah Alistair sebagai rakan warden dan Wynne, seorang ahli sihir yang bijak mengubat. Alistair mempunyai kisah silam yang sedih yang akhirnya membentuk personalitinya yang comel, pemalu, manis dan terlalu mendambakan kasih seorang ayah. Wynne pula seolah-olah seorang ibu dan guru yang begitu bijaksana dan boleh mententeramkan kita di dalam apa keadaan sekalipun. Jika kena pilihannya, Alistair akan berkembang menjadi seorang yang hebat dan bijaksana akhirnya. Ucapannya didalam satu adegan begitu menaikkan semangat saya untuk membunuh semua darkspawan bagi mengakhiri "Blight" agar Ferelden kembali aman. Terdapat pengakhiran yang tidak diduga pada akhir cerita ini dan amat bijak direka pada saya.

Personaliti dan mainan perasaan didalam game ini begitu mendalam sehinggakan pada akhirnya, saya merasakan begitu kehilangan "teman-teman" yang telah lama berjuang bersama-sama. Ambil masa jugalah sebelum perasaan ini hilang. Terasa betul. Sedih! Begitu bijak game ini direka!

Nasib baik perasaan itu tidak lama dah kini saya berjaya mengatasi ketagihan. Sambungan Dragon Age juga agak kurang menarik perhatian saya lagi. Bagus juga, jika tidak, tidur lambat lagi la jawabnya! Saya cuba bermain sekali lagi tapi perasaannya sudah kurang! Walau bagaimanapun, Dragon Age: Origins menjadi  di antara game kegemaranku seperti Simcity dan Civilization!

Sunday, 31 July 2011

Selamat Berpuasa

Selamat berpuasa bagi saudara semuslim. Semoga ramadan akan menginsafkan dan meniggikan martabat kita disisi Allah. Amin! Sekadar peringatan kecil. Pahala amalan sunat pada bulan ramadan bersamaan wajib bagi bulan lain. Apatah lagi pahala bagi amaln yang wajib yang seribu ganda lebih baik. Semoga, kita mendapat faedah dan manfaat semaksimum di bulan ini... selain menguruskan badan (ehem... ehem!)

Lain kali, blog ini akan bercerita mengenai sebuah program kecil bernama CoreTemp.

Saturday, 30 July 2011

Lagi-lagi Amerika

Segalanya masih kucar-kacir. Orang politik Amerika masih pentingkan diri dan suku-sakatnya berbanding orang lain. Saham Amerika dan seluruh dunia turun dan semakin turun. Minggu depan adalah penentuan sama ada dunia akan mengalami kemorosotan atau tidak.... bersedialah!

Mati kerana game...

Game. Sesuatu yang amat menarik untuk dimainkan ketika masa lapang. Apatah lagi jika ada banyak masa. Tetapi, jgn lupa, dengan bermain game, kita boleh duduk berjam-jam lamanya dan seterusnya boleh menyebab DVT seperti yang dialami pemuda ini. Saya dulu pernah asyik tidur lambat kerana bermain game. Apatah lagi jika sudah ketagih, semuanya tidak dipedulikan lagi. Pernah tidur 3 , 4 pagi sebelum bangun esoknya untuk ke tempat kerja!

DVT akan menyebabkan salur darah tersumbat dan seterusnya boleh bergerak ke arah jantung. Kesan paling serius adalah di jantung kerana ia boleh menyebabkan arteri tersumbat dan mengakibatkan serangan jantung. 

Umumnya, duduk yang terlalu lama adalah tidak digalakkan. Oleh sebab tiu, kita digalakkan bangun berjalan dengan lebih kerap jika bekerja di pejabat, didalam bas, kapal terbang dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, kita perlu meregangkan badan dan kaki bagi melancarkan peraliran darah. Ingat, duduk yang lama boleh mengancam nyawa!








Thursday, 28 July 2011

BatteryCare

Cukup rasanya masalah ekonomi... jom tengok masalah lain pula.



Kali ini, jom kita tengok satu program kecil bernama BatteryCare. Ia amat baik bagi pemilik laptop yang berkapasiti kecil atau bateri lama. Secara umumnya, ia baik bagi menjaga kesihatan bateri anda.
BatteryCare Options

Ia bersaiz kecil iaitu 1.1MB dan menjimatkan ruang walaupun ruang yang kita ada berterabait! Ia membolehkan kuasa bateri dijimatkan dengan mematikan sidebar dan Windows Aero. Semua ini dapat dilakukan secara automatik. Program ini juga dapat memprogram "power plan" automatik atau manual. Mungkin jika menggunakan bateri, "power saver" digunakan dan "balance" jika disambung ke elektrik. Dengan BatteryCare maklumat terperinci bateri juga boleh didapati. Bateri juga boleh ditentuukur (calibrate) bagi memastikan bacaan kapasiti bateri yang tinggal adalah betul.

Terdapat juga option untuk memaparkan suhu CPU dan HDD. Jika suhu tinggi, ia boleh menggangu kapasiti bateri selain CPU atau HDD itu sendiri. Umumnya, suhu dibawah 60 darjah adalah baik. Selebihnya, ia mungkin memberi kesan yang tidak baik walaupun perlahan.

Menariknya, semua fungsi boleh diprogramkan tanpa kita perlu mempedulikannya ketika menggunakan laptop!

Saham pula


Hari ni saham jatuh lagi. Selagi tak selesai masalah hutang Amerika, selagi itu ketidaketentuan ini berlarutan. Tarikh akhirnya 2 Ogos 2011. Kita lihat pula esok. Emas pun jatuh. Emas sepatutnya naik tapi biasa la jika naik akan ada yang ambil untung.

Ramai orang bimbang pasal isu ini tetapi ahli politik Amerika seakan bergembira dengan masalah ini terutama Republikan yang melihatnya sebagai senjata ampuh terhadap kerajaan pimpinan Obama. Tapi itulah dunia, selagi boleh eksploit, salah-menyalah, salahguna, seleweng dan yang sewaktu dengannya tanpa dihukum, selagi itu kita sanggup lakukan kerana habuan yang bakal didapati. 

Bagi Malaysia, apa saja yang berlaku kepada Amerika akan diterima secara langsung atau tidak langsung. Harap aje yang terbaik. Nanti jika betul ekonomi dunia merosot oleh sebab ini, ada juga kebaikannya. Saham turun, mungkin juga harga barang dan rumah akan turun, jadi lebih ramai mampu memiliki semua ini dan menggalakkan perbelanjaan. Malangnya, kemelesetan ekonomi juga datang bersama masalahnya sendiri seperti pembuangan pekerja yang akhirnya mengurangkan perbelanjaan. Jadi kesannya kurang ketara atau lebih teruk jika kemelesatan amat buruk dan berlarutan. 

Semoga yang terbaik yang akan berlaku...



Tuesday, 26 July 2011

Hutang oh hutang

Pandangan selatan White House

Amerika berhutang, semua negara berhutang, semua orang berhutang.... bezanya? Amerika berhutang dalam trillion - hampir USD14.3 trillion. Amerika hampir muflis! Amerika mungkin tidak akan mampu berbelanja mewah selepas 2 Aug 2011. Hanya 60% perbelanjaannya datang daripada pendapatan. Selebihnya datang daripada pinjaman! Kira-kira USD2 trillion hutang Amerika datang daripada China. China memang kaya-raya dan China masih yakin yang Amerika mampu bayar hutang dan faedahnya sekali.

Jika Amerika bankrap, bayangkan kesannya kepada dunia. Hutang sekuriti yang digambarkan sebagai paling selamat tidak lagi selamat. Bukan sahaja faedahnya tiada, malah prinsipal mungkin dikurangkan. Apa jadi kepada pemiutang (creditor) Amerika? Apa mungkin jadi kepada ekonomi dunia? Kesannya mungkin amat buruk. Kita hanya boleh jangka. Jika kerajaan Amerika tidak mampu bayar gaji, maka ada pekerja tidak mampu berbelanja. Perbelanjaan kurang terutama barang import yang mahal (termasuk dari Malaysia!) Pengeksport kurang pendapatan, kerajaan kurang cukai. Bank juga terima kesan jika terlibat membeli hutang Amerika (US Treasury Securities) secara langsung atau tidak langsung... Jadi dunia mungkin mengalami kemelesetan yang buruk!

Amerika berbelanja mewah selepas 1998 sehingga menimbun hutang. Clinton bejaya memerintah dengan lebihan bajet berbanding Bush yang hanya menambah hutang, menambah musuh, perang sana-sini dan memotong cukai kepada orang kaya! Memang hebat Bush ini! 

Sehingga sekarang kompromi untuk selesai masalah ini belum tiba oleh sebab Republikan yang pro-orang kaya. Mereka sanggup memotong perbelanjaan kesihatan rakyat tetapi tidak mahu naikkan cukai orang kaya. Dasar orang politik yang tamak. Sedangkan rakyatlah yang memilih mereka ke tampuk kuasa! Rakyat Amerika sendiri sudah bosan dengan ding-dong yang tidak berkesudahan ini. Entah bila akan selesai. Tarikh akhir sudah hampir!!!

Bagaimana jika kerajaan Malaysia sebegini? Ada yang diberi mandat oleh rakyat tapi masih terpekik-terlolong seperti kera kena belacan. Mereka dibayar dengan duit rakyat untuk berkhidmat dan bukannya menjadi seperti haiwan di Zoo. Mereka lebih pentingkan politik daripada yang lain. Ada kebaikan yang dibawa, tetapi keburukan terbentang di depan mata! Entah bilakah politik Malaysia akan matang!

Kecewa...

*gambar dari internet, bukan milik saya...

1, 2, mula...!



High Speed train crash in China. Saspek masalah berpunca daripada kegagalan peralatan selepas kilat. Nampak kontras di antara tren yang sedang melintasi tren yang remuk teruk dibawah.

Sekadar berkongsi kisah semasa...

Blog ini sekadar berkongsi cerita, pengalaman, kisah-kisah menarik sesiapa yang berminat. Sebelum ini diari simpan sendiri, sekarang dah boleh dihebahkan ke seluruh dunia dengan blog!! Dulu ada diari begitu berharga seperti diari seorang mangsa holocaust, Anne Frank kerana kisah-kisah penderaan dan kekejaman Nazi, sekarang blog boleh jadi berharga dengan perniagaan internet!

Bersambung pada lain kali...