AirAsia. Siapa tak kenal AirAsia. Syarikat penerbangan bajet yang kini berkelas dunia. Tiada siapa menduga syarikat yang asalnya hampir bankrap telah berjaya dibeli dan diubah oleh Tan Sri Tony Fernandez menjadi syarikat yang amat menguntungkan. Siapa sangka penerbangan bajet juga amat menguntungkan malah melebihi syarikat penerbangan premium.
Sebahagian daripada kejayaan ini datang daripada sikap Tony sendiri yang tidak mengenal penat dan juga berani menongkah arus bagi menghasilkan kejayaan. Sikapnya yang dilihat agak "keras" walaupun kadangkala merimaskan, akhirnya membuahkan hasil.
Model perniagaan Airasia juga baik. Setiap tempahan yang dibuat kadangkala sehingga setahun depan telah menghasilkan tunai yang bukan sedikit. Setiap tempahan perlu dibayar segera (tunai atau kredit) walaupun waktu penerbangan adalah 5 bulan lagi contohnya. Maka, Airasia telah mendapat tunai daripada masa depan untuk masa sekarang. Dengan promosi besar-besar sehingga 1 ke 2 juta tempat akan menghasilkan tunai yang banyak. Bayangkan jika hanya RM10 dibayar bagi 1 juta tempat duduk, Airasia telah memperolehi RM10 juta ringgit padahal kosnya masih lagi rendah. Kos sebenar akan tiba selepas penerbangan. Ini juga model yang digunakan oleh syarikat komputer DELL.
Inilah model "cash mountain" yang amat baik kerana tunai sentiasa tinggi dan menghasilkan aliran tunai yang baik. Berbanding model "death valley" yang memerlukan "pendahuluan" daripada pengusaha yang sentiasa menghasilkan aliran tunai negatif kerana tunai yang didapati (kadangkala lambat) perlu digunakan untuk mendahulukan perbelanjaan. Model ini bukanlah buruk semata-mata tetapi jika tidak dapat dikawal, hutang akan bertambah dan terus bertambah hatta dengan penggunaan overdraft (OD)
Airasia juga dapat merancang dengan baik kerana ia telah mendapat maklumat awal tempahan. Tempahan yang tidak dipenuhi telah pun dibayar dan dapat pula dijual kepada orang lain jika ada. Selain itu, ia juga membuat duit daripada "baggage" dan jualan didalam kapal yang menambahkan lagi keuntungan Airasia.
Kini, saham Airasia mencapai rekod apabila mencecah sehingga RM4.20. Sungguh tidak kuduga rupa-rupanya ada sesuatu sedang berlaku, harganya naik dari kira RM2.50 ke sekarang ini dalam tempoh 4 bulan. Alangkah baiknya jika ada orang dalam (insider) walaupun diketahui ia dilarang oleh SC. Boleh buat untung segera! Oklah, ia tak boleh.
Sahamnya kini dibekukan sementara menunggu pengumuman rasmi. Sekurang-kurangnya, buat masa ini Airasia terlepas seksa "panic selling" untuk dua hari. Dengarnya, Khazanah bakal memegang 10% saham Airasia dan Tony dan naibnya bakal memegang 20% saham MAS (yang ini mungkin tak betul!). Dengan ini, kedua-duanya tidak perlu bergaduh tetapi bekerjasama demi kebaikan negara.
Kini, anak syarikatnya di Thailand bakal disenaraikan dibursa saham. Untung tahun lepas melebihi RM1 billion. Tempahan pesawatnya juga melebihi 200 buah dan terus meningkat! Ia bakal masuk Jepun melalu ANA. Semoga Airasia akan terus berjaya!
Catatan pemegang saham AirAsia... hehe!
No comments:
Post a Comment