Cukai, siapa yang suka pasal cukai! Jika boleh, sekupang pun tidak mahu dibayar kepada kerajaan. Bukan apa, kerajaan hanya membazirkan duit rakyat disamping untuk mengisi tembolok pemimpin dan kroninya. Mungkin benar hujah ini. Tetapi adakah cukai sesuatu yang zalim dikenakan keatas rakyat? Mengapa perlunya cukai dikenakan? Kemanakah pula cukai ini disalurkan setelah dibayar?
Sungguh menarik apabila saya membaca artikel ini. Pihak Republikan di US amat menentang usaha menaikkan cukai kerana bimbang ia akan menyekat perkembangan ekonomi sedangkan fakta sejarah menunjukkan sebaliknya. Dengan pendapatan yang lebih, lebih-lebih lagi tanpa penyelewengan, kerajaan boleh berbelanja bagi merangsang ekonomi domestik dan seterusnya memberi kesan rantaian yang besar.
Sebenarnya, saya juga amat bencikan cukai kerana ia adalah wang hasil usaha saya. Mudah sahaja kerajaan mahu mengambilnya dan diberikan kepada kroni-kroninya. Tetapi cukai adalah satu keperluan bagi setiap negara. Negara perlukan cukai bagi mengisi kantung negara agar negara boleh menyediakan kemudahan yang selesa dan baik kepada setiap rakyatnya. Setiap negara perlukan jalanraya, sekolah, hospital, klinik, masjid dan segala jenis kemudahan lain bagi memberikan kehidupan yang baik kepada rakyat. Sebahagian daripada cukai digunakan untuk kemudahan ini. Sudah tentu "belanja pengurusan" kerajaan juga menggunakan cukai (segala jenis).
Bagi sesetengah negara yang bernasib baik - sama ada mempunya sumber alam yang banyak atau kerana mempunyai pemimpin yang adil - wang cukai akan kembali semula kepada rakyat melalui segala kemudahan yang terlalu banyak untuk disenaraikan di sini. Contohnya, negara-negara Arab yang kaya dengan minyak dan negara Scandinavia yang mengamalkan Sosialisme. Kualiti hidup rakyat sudah tentu akan meningkat dan rakyat mempunya pendapatan boleh guna yang banyak.
Bagi Malaysia, pendapatan hasil bumi atau perkhidmatan belum cukup untuk membayar semua urusan kerajaan dan pembangunan. Maka, dengan itu cukai perlu dikenakan bagi membiayai semua ini. Cukai ini adalah sah dan wajib dibayar kerana setiap kemudahan tidak disediakan secara percuma. Sebagai contoh, bagi mendirikan hospital, kerajaan perlu membayar kontraktor dan seterusnya membayar gaji doktor, jururawat dan pekerja hospital selepas ia siap. Jika tidak, rakyat yang perlu menanggung semuanya. Jangan ingat kita mahu semua benda secara percuma.
Memang tidak dapat dinafikan mengenai penyelewangan di dalam urusan kerajaan. Tetapi ia bukanlah alasan untuk tidak membayar cukai. Di Malaysia, kira-kira sejuta orang sahaja yang membayar cukai pendapatan. (income tax) dan semua orang membayar cukai bagi barang dan perkhidmatan yang digunakan. Yang lainnya tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana kurang daripada pendapatan bercukai. Malangnya, ada yang cuba mengelak cukai dengan menipu semasa mengisi borang cukai, menyimpan di luar, menyediakan akaun untung rugi palsu dan lain-lain. Adalah amat menyedihkan apabila orang ini lari daripada cukai kemudiannya bising jika tidak mendapat kemudahan selesa apatah lagi kelas pertama daripada kerajaan.
Sepatutnya kita perlu bersyukur kerana dengan membayar cukai pendapatan, kita telah membantu negara disamping ia adalah pengiktirafan bahawa pendapatan kita adalah tinggi berbanding orang lain.
No comments:
Post a Comment